Sesebuah organisasi diwujudkan untuk mencapai objektif dan matlamat tertentu. Pencapaian objektif sebahagian besarya bergantung kepada perancangan kerja dan pengurusan sumber manusia yang berkesan. Keberkesanan pengurusan sumber manusia melibatkan proses pembangunan pekerja seperti mengenalpasti potensi, latihan dan komunikasi berkesan. Ia boleh dilaksanakan melalui penilaian prestasi pekerja yang objektif, adil dan telus di mana penilaian dibuat secara berterusan berdasarkan pencapaian kerja sebenar pekerja pada tahun yang dinilai.
Penyelian yang baik adalah satu keperluan asas untuk kejayaan sesebuah organisasi. Ia hendaklah ditumpukan kepada pembinaan dan pembangunan sumber manusia. Setiap penyelia dan pengurus mempunyai tanggungjawab dalam pembinaan itu. Jika ia diabaikan maka penyelian yang berkesan tidak akan wujud. Di dalam usaha membina dan membangunkan sumber manusia, penilaian prestasi di sesebuah organisasi adalah menjadi sesuatu alat keperluan yang asasi. Melalui sistem penilaian prestasi, sesebuah organisasi itu akan memperolehi maklumat mengenai prestasi seseorang individu dalam pekerjaanya di samping potensinya untuk menjawat jawatan yang mempunyai tanggungjawab yang lebih tinggi di masa hadapan. Pertumbuhan dan perkembangan sesebuah organisasi bergantung kapada pasukan pekerja yang terlatih dan bermotivasi.
Dari ini adalah jelas bahawa terlalu banyak cabaran dan tanggungjawab yang terpaksa ditanggung oleh Pengurus Sumber Manusia (PSM) dalam melaksanakan tugas sehariannya. Pelbagai aspek dan faktor yang perlu diteliti dan diambilkira dalam memastikan kesemua aspek dan faktor tersebut akan menyumbang kepada pencapaian matlamat dan objektif organisasi. Banyak aspek yang perlu difikirkan dan seterusnya diambil tindakan agar dapat disesuaikan dengan norma perlaksanaan yang biasa dan mengikut landasan yang betul dalam membawa syarikat kepada matlamat yang diingini seterusnya menjadikan syarikat yang mantap, berdaya saing, kreatif dan bertanggungjawab terhadap pesaing, kakitangan dan persekitaran.
Usaha dan sokongan yang berterusan oleh Pengurus Sumber Manusia haruslah jelas dan dilihat oleh pekerja dalam aktiviti-aktiviti pembangunan kerjaya yang merangkumi usaha mengkomunikasikan maklumat perancangan sumber manusia, latihan dan pembangunan, penilaian prestasi, perekrutan dan peletakan serta pampasan dan faedah. Keberkesanan pembangunan kerjaya membolehkan pekerja menambah peluang bagi mencapai matlamat dan aspirasi peribadi dan organisasi. Malah, ia boleh diselarikan dengan minat, kepakaran dan nilai individu yang dipegang. Dengan ini, pembangunan kerjaya hendaklah dilihat sebagai satu usaha kerjasama yang berterusan antara individu dan organisasi dalam memantapkan sumber tenaga agar menjadi lebih kompeten dan mampu membawa organisasi ke satu tahap yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
Sekadar renungan “Motivasi pekerja yang menurun, produktiviti tidak mencapai tahap kualiti yang ditetapkan dan komitmen pekerja yang tidak stabil memberi kesan kepada prestasi keseluruhan organisasi yang terlibat”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan